Surau Al-Ikhwan :
Home » » Usaha HARAMKAN Al-Quran Boleh Cetuskan KETEGANGAN

Usaha HARAMKAN Al-Quran Boleh Cetuskan KETEGANGAN

Isnin, 23 September 2013 | 0 ulasan


MOSCOW 21 Sept. - Majlis Mufti Rusia memberi amaran kepada Presiden Vladimir Putin, ketegangan boleh tercetus di negara ini dan di seluruh dunia, jika keputusan mahkamah yang mengarahkan pemusnahan sebuah tafsir al-Quran tidak ditarik balik.

Timbalan Ketuanya, Rushan Abbyasov mengeluarkan amaran tersebut menerusi sepucuk surat semalam, berhubung keputusan sebuah mahkamah di bandar Novorossiysk, selatan Rusia pada Selasa lalu yang memutuskan bahawa tafsir al-Quran ke bahasa Rusia yang diterjemahkan oleh pakar teologi dari Azerbaijan, Elmir Kuliyev menyalahi undang-undang antifahaman pelampau dan perlu dimusnahkan.

Aktivis hak asasi manusia menyifatkan, jika tiada rayuan dibuat, keputusan yang akan dikuatkuasakan di seluruh negara itu boleh mengundang bahaya dan merupakan langkah awal untuk menghapuskan al-Quran itu sendiri.

Dalam surat itu, Rushan dengan kuat menyuarakan tentangan dan memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya ketegangan bukan sahaja di negara ini, tetapi juga di seluruh dunia.

Beliau turut memberi contoh kepada insiden seorang paderi di Amerika Syarikat (AS), Terry Jones yang mahu membakar al-Quran pada 11 September 2010, tindakan yang mencetuskan bantahan ganas di Asia Barat dan Afghanistan.

Seorang peguam kepada Kuliyev, Murat Musayev berkata, beliau akan mengemukakan rayuan ke atas keputusan mahkamah yang mengharamkan dan mengarahkan pemusnahan salinan terjemahan tersebut.

Menurut pakar, terjemahan yang dibuat oleh Kuliyev yang berusia lebih sedekad, adalah hasil ilmiah yang sangat dihormati dan merupakan satu daripada empat terjemahan al-Quran ke bahasa Rusia yang ada.

"Keputusan ini adalah selangkah daripada tindakan pengharaman al-Quran dan sesuatu yang tidak profesional.

"Terjemahan Kuliyev sangat berkualiti," kata seorang pakar Islam di Akademi Sains Rusia, Akhmed Yarlikapov. - REUTERS
Share this article :

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. cananglahnie post - All Rights Reserved
Template Modify by Creating Website
Proudly powered by Blogger